03 August 2011

...bersabarlah dan bertawakallah...

Dalam sebuah hadis Riwayat Bukhari dan Muslim:
"Tidakkah dalam setiap tubuh itu ada seketul daging. Sekiranya baik, baiklah seluruh tubuh itu. Dan sekiranya tidak baik tidak baiklah seluruh tubuh itu. Dan itu adalah hati." Hati mengendalikan setiap anggota tubuh badan yang lain, jika baik keadaan hati itu, maka baiklah kegunaan anggota tubuh badan kita. Jika tidak baik keadaan hati maka anggota badan digunakan kearah kemaksiatan.
Jadi kita perlu sentiasa menjaga hati kita supaya kita sentiasa menjaga kesucian hati kita. Hati yang tenang adalah daripada hati yang tulus ikhlas untuk beribadah kepada Allah. Hatilah juga yang menggerakkan fikiran untuk menggunakan anggota tubuh badan kita dengan baik.
Jadi bagaimana untuk kita jaga hati kita ini? Hendaklah kita sentiasa bertaubat kepada Allah setiap kali kita melakukan dosa supaya hati kita sentiasa disinari 'Nur' dari Allah. Untuk mempertahankan hati kita supaya tidak dirobek Syaitan laknatullah maka kita harus sentiasa berzikir kepada Allah dan membasahkan lidah dengan bacaan al-Quran. Dengan itu, kita akan mendapat ketenangan daripada Allah Taala.
Pahala bagi orang-orang yang bersabar menurut Ali r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
"Sabar itu ada tiga:
1. Sabar terhadap musibah, yakni sabar dan tidak merasa marah terhadap musibah yang menimpanya sebaliknya dia menerima dengan baik musibah itu. Maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya yakni mentakdirnya atau menyuruh menulis di Luh Mahfuz 300 darjat, yakni darjat yang tertinggi di Syurga dan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti langit dan bumi.
2. Barang siapa yang bersabar dalam taat yakni mengerjakan taat dan menanggung kesukaran taat itu maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 600 darjat yang mana satu darjat itu seperti permukaan bumi yang atas hingga ke penghabisan bumi yang terakhir.
3. Barang siapa bersabar dari maksiat, yakni meninggalkan kerja-kerja maksiat maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 900 darjat yang mana setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti permukaan bumi hingga ke Arasy. Dan dia adalah makhluk darjatnya dua kali ganda. Sabar menjauhi segala yang diharamkan itu martabatnya paling tinggi yang paling tinggi."
Dalam al-Quran yang suci Allah telah berfirman yang bermaksud:
Katakanlah:"Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesunnguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Az-Zumar ayat 53)
Kita sebagai hamba-Nya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kekhilafan, jadi bertaubatlah kepada Allah Yang Maha Mendengar taubat. Semoga sinar hidayah menerangi kehidupan kita dan menjadi hala tuju kita untuk ke Syurga Allah yang kita idam-idamkan, Insya-Allah.

Ya Allah,Ku menadah kedua belah tanganku untuk memohon kepada-Mu, Ya Rabb!Aku mohon Ya Allah supaya engkau memelihara hati-hati kami dan seluruh jasad kami daripada melakukan maksiat kepada-Mu Ya Allah,Kami adalah hamba-Mu yang kerdil lagi hina ya Allah,Kami bertaubat kepada-Mu dengan apa yang telah kami lakukan kepada-Mu selama ini Ya Allah,Dosa-dosa yang menggunung tinggi Ya Allah,Engkaulah Yang Maha Pengampun,Ampunilah dosa-dosa kami,Kami mohon Ya Allah supaya Engkau pelihara kami daripada hasutan Syaitan yang direjam,Terimalah taubat kami ini Ya Allah.
Semoga kita sentiasa dipelihara dan dilindungi Allah, Insya-Allah.