Suatu waktu dulu seorang sahabat yang ahli agama berpesan. Andai ada rasa penat, sedih, bimbang. Bagi ruang
pada diri bertenang dengan membaca dan memahami surah Ad-Dhuha. Ia surah yang
penuh pengajaran dalam kehidupan seharian
Sahabat berkongsi. Surah ini telah diwahyukan kepada Nabi
Muhammad SAW ketika Baginda tidak mendapat apa-apa wahyu langsung selama enam
bulan (tidak termasuk mimpi). Ketika itu, fikiran Baginda
berasa sangat terganggu dan tertekan sehingga Baginda mempercayai bahawa Allah
Taala telah menyisihkannya dan tidak mahu lagi Baginda menjadi seorang Nabi.
Tidakkah dalam hidup kita juga merasai perasaan
yang sama? Ketika kita merasakan tahap iman kita goyah, tiada lagi khusyuk
dalam menunaikan solat dan tahap hubungan kita dengan Allah menurun?
Pada masa yang sama, kita juga merasakan setiap doa
yang dipohon tidak akan dimakbulkan oleh Allah, segala solat yang dikerjakan
terasa hanya sia-sia dan tidak mendatangkan kesan yang positif dalam diri.
Anggapan yang lebih dahsyat sebagai seorang manusia biasa bahawa Allah tidak
lagi peduli apatah lagi untuk mengasihi kita.
Disebabkan perkara-perkara itu, surah Ad-Dhuha
telah diturunkan dan diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menyingkirkan
segala sifat mazmumah dan sebaliknya menerapkan kepada diri Baginda tentang
keamanan, sifat mahmudah dan yang paling penting tentang jaminan Allah tidak
akan meninggalkan Baginda SAW dalam apa jua keadaan sekalipun.
Dari situ juga, dengan keadaan kita sebagai manusia
biasa yang sering dilanda kesusahan, depresi, dan hilang tempat pergantungan,
Allah akan memberi jalan untuk kita percaya pada pergantungan Allah di samping
hidup dengan tenang dan aman.
Jadi, apa yang dikatakan dalam surah tersebut? Kita
perhatikan pada setiap ayat satu persatu.
1 - “Demi waktu Dhuha” (ketika matahari naik
setinggi galah)."
Perkara ini lah perkara pertama yang perlu kita
dengar apabila kita mengalami tekanan – Bangun dan lihatlah cahaya matahari!
Ingin diingatkan bahawa tiada keazaban dan kesuraman berlaku dalam hidup kita.
Hanya perlu untuk bangun dan lihat cahaya sekitar kita.
#2 - “Dan demi malam untuk menaungi kegelapan.”
Kenapa tiba-tiba pada ayat kedua, dinyatakan
tentang kegelapan? Ia adalah bertujuan untuk memesan kepada kita bahawa malam
dijadikan oleh Allah Taala untuk memberikan kita rehat dengan selesa.
Kebiasaannya, apabila kita dirundung dengan tekanan
atau depresi, secara automatik, corak tidur kita akan mengalami perubahan
seperti tersedar sepanjang malam atau tidur sepanjang hari.
Perkara seperti itu sebenarnya akan memberi kesan
yang negatif kepada minda kita. Oleh hal yang demikian, ayat kedua dalam Surah
Ad-Dhuha ini memberi peringatan bahawa Allah menjadikan malam untuk manusia
dapat menenteramkan minda dan jiwa dari mengalami tekanan.
#3 - “Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad)
dan tidak pula membencimu”
Ayat ketiga ini sungguh menakjubkan! Secara
terangan Allah Taala telah memberi peringatan bahawa Dia tidak akan pernah
melupakan, meninggalkan apatah lagi untuk membenci kita sebagai manusia yang
lemah. Dia sentiasa ada untuk manusia yang beriman kepadaNya.
#4 - “Sesungguhnya, Akhirat itu lebih baik bagimu
dari dunia”.
Apabila kita mengalami stress dalam hidup, pasti
banyak kali kita berfikir: Adakah pengakhiran hidupku ditakdirkan begini?
Adakah tiada langsung perubahan yang baik dalam hidupku?
Apabila kita mempersoalkan tentang takdir hidup
kita, ayat keempat dalam Surah Ad-Dhuha telah memberi jawapan yang terbaik.
Apabila kita mengalami kesedihan hingga menyebabkan
depresi tentang hidup, Allah Taala telah menjelaskan dalam ayat empat tersebut
iaitu kehidupan di dunia hanyalah sementara dan tiada kehidupan yang lebih baik
untuk ditandingi melainkan kehidupan di Akhirat yang kekal abadi.
Apabila kita percaya bahawa Akhirat itu wujud dan
merupakan tempat tinggal yang kekal, ia akan membantu kita untuk optimis
pandang ke hadapan mengejar Jannah.
Seiring dengan perkara itu, ia juga membantu kita
untuk percaya bahawa segala masalah, ujian dan cubaan yang dialami di dunia
hanyalah sementara dan ketentuan Allah Taala buat kita sebagai hambaNya. Jika
kita berjaya hadapi ujian itu dengan penuh keimanan, Syurgalah tempat yang terbaik untuk kita.
#5 - “Dan sesungguhnya Allah akan memberi kepadamu
(limpah kurniaNya) dan engkau tetap berpuas hati”.
Ini merupakan janji Allah Taala kepada kita sebagai
umat manusia bahawa Jannah merupakan ‘hadiah’ yang teragung jika kita
melaksanakan perintahNya. Pastinya Allah akan membalas segala amalan kebaikan
yang kita buat dengan membuatkan kita semua berasa gembira! Subhanallah!
Oleh itu, adakah perkara itu perkara yang terbaik untuk didengar setelah kamu dilanda kemurungan dan berasa tertekan
dengan masalah yang dihadapi?
#6 - “Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang
yatim, lalu Dia melindungimu”.
Melalui ayat keenam ini, Allah Taala telah memberi
alasan untuk kita percaya akan janjiNya yang telah dijelaskan pada separuh
pertama ayat Ad-Dhuha ini. Apabila ayat keenam ini disuarakan, pasti ramai
antara kita berfikir: Bagaimana ayat yang menjurus tentang anak yatim berkaitan
dengan kita?
Cuba renungkan. Berapa banyak kali dalam hidup anda
ketika ditimpa kesakitan atau berasa kesunyian, anda merasakan tiada sesiapa
yang peduli tentang anda? Siapa pula yang satu-satunya ada untuk anda pada
ketika itu? Jawapannya Allah! Dia yang sentiasa menjaga anda dan membimbing
anda mengubah kehidupan dari kemungkaran ke arah kebaikan.
#7 - “Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang
tiada pedoman lalu Dia memberi hidayah kepadamu”.
Berapa ramai daripada kita telah menyimpang ke arah
kesesatan dari Islam yang sebenar lalu telah menemui dirinya kembali? Walaupun
hakikatnya kita dilahirkan sebagai seorang Muslim?
Sesungguhnya, pada ketika itu Allah jua lah yang
telah memberi nur dan hidayah lalu membawa kita kembali ke jalan yang lurus
lalu tunduk kepadaNya. Di samping itu, secara tidak langsung telah
mempraktikkan kehidupan kita sebagai seorang Muslim. Alhamdulillah!
#8 - “Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang
miskin, lalu Dia memberikan kekayaan”.
Dalam kehidupan seharian, mungkin kebanyakan
daripada kita pernah melalui tempoh kekurangan wang dan harta. Kini, apabila
kita imbas kembali, barulah kita sedar bahawa dalam kesukaran kewangan yang
ditakdirkan untuk kita hadapi, hanya Allah yang memberi rezeki kepada kita
dalam apa jua bentuk.
Jadi, apabila seseorang berada dalam tekanan,
berinya contoh tentang bagaimana Allah Taala boleh membantunya menjadi lebih kental
dalam mengharungi setiap dugaan yang datang dan percayalah janji Allah itu
pasti.
#9 - “Maka terhadap anak-anak yatim, janganlah
engkau berlaku sewenang-wenangnya”
Ayat ini menunjukkan penawar terbaik kepada masalah tekanan!
Kebanyakan orang yang mengalami tekanan hidup,
mereka merasakan hidup mereka tiada lagi gunanya dan merasakan juga tiada siapa
yang lebih teruk berbanding hidupnya.
Ayat ini mengingatkan kita jika kita berasa
tertekan dan hilang harapan untuk hidup, lihatlah kehidupan orang yang jauh
lebih susah dari kita. Cuba lihat anak-anak yatim. Mereka tiada sesiapa apatah
lagi insan-insan yang menyayangi dan menjaga mereka. Dibandingkan dengan kita
yang ada keluarga, tempat tinggal dan makanan disediakan di atas meja, masih
menganggap kehidupan kita tidak baik? Subhanallah!
#10 - “Dan terhadap orang yang meminta-minta,
janganlah engkau mengherdiknya”.
Satu lagi contoh ialah pengemis – Ia adalah satu
pengajaran dan peringatan kepada kita tentang Allah Taala telah banyak
menurunkan rezeki berupa kebendaan kepada kita – makanan, pakaian dan tempat
tinggal.
Berapa ramai antara kita yang pernah tidur dalam
kelaparan? Berapa ramai antara kita yang tiada pakaian untuk menutup tubuh?
Berapa ramai lagi antara kita yang tiada rumah untuk dituju?
Contoh-contoh yang melibatkan anak-anak yatim dan
pengemis ini adalah untuk mengajar kita supaya sentiasa bersyukur dengan
keberkatan yang Allah Taala telah berikan kepada kita tanpa Dia meminta
kembali.
Syukur ini juga sebenarnya satu cara untuk kita
mengatasi masalah kemurungan yang melanda dalam diri kita. Dengan rasa syukur,
hubungan kita dengan Allah kembali terjalin.
#11 - “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau
sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya".
Ayat terakhir ini adalah mengenai cara untuk
mengekalkan iman dan ikatan dengan Allah Taala iaitu melalui pemikiran,
kemuliaan dan percakapan tentang keberkatan Allah!
Baik dari segi halaqah, perbincangan dengan ahli
keluarga dan kawan-kawan atau pun melalui dakwah. Selain daripada itu, untuk
sentiasa dekatkan hati dengan Allah Taala, haruslah memperbanyakkan membaca
Al-Quran, berzikir dan menghadiri kuliah-kuliah agama lalu menghayatinya.
Jadi, seandainya suatu masa nanti, merasakan iman
goyah, dirundung kekecewaan dan kemurungan hingga terputusnya hubungan dengan
Allah Taala, bacalah Surah Ad-Dhuha dan hayati seluruh maknanya.
InshaAllah, ia akan memulihkan kepercayaan dan
sekali gus meningkatkan keyakinan kita terhadap hebatnya kekuasaan Allah
Ta'ala.
**Perkongsian ini dari nota peribadi dan rujukan
dari Ibrah Surah Ad-Dhuha di Ikim.fm